Dua sahabat maut MPV terbabas

Keadaan MPV yang dinaiki mangsa terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pada Selasa.
Keadaan MPV yang dinaiki mangsa terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pada Selasa.
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua sahabat meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27.7 susur ke Jalan Puchong dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.50 pagi.

"Kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dalam perjalanan dari Subang Jaya menghala ke Putrajaya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Azlan berkata, MPV dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang besi sebelah kiri.

"Kemalangan itu mengakibatkan pemandu serta penumpang iaitu seorang lelaki yang juga berusia 21 tahun tersepit. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat," ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor K Ratnacristinavany di talian 017-9074893 bagi membantu siasatan,” tambahnya.