Kerajaan timbang kaedah campur tangan di peringkat pengguna

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan di peringkat pengguna bagi mengatasi isu kekurangan bekalan keperluan di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) pada Selasa.

"Mesyuarat NACCOL telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan dan ia akan dibentangkan kepada kabinet akan membuat keputusan esok," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak tiga kertas dibentangkan dalam mesyuarat NACCOL yang mengupas isu, tantangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

"Laporan itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna," katanya.

Ujar Anwar, kerajaan juga konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan.

Jelasnya, sektor penternakan negara sudah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport.

Beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk memudahkan industri ternakan untuk mengeksport produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan mencukupi untuk keperluan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar terutamanya kepada pengusaha tempatan.

"Pada saat ini, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangannya akan memberi dampak yang buruk," kata Anwar.

Beliau berkata, Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang terkesan.

"Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10 peratus daripada angka itu yakni satu juta pengguna meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih daripada 50 peratus subsidi elektrik," katanya.

Anwar berkata, jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar.

"Ia perlu mengambil kira kepentingan pengguna dan industri sekali gus memastikan kelancaran serta keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini," katanya.