Banjir di Terengganu semakin baik

Kanak-kanak yang dipindahkan ke PPS SK Atas Tol melakukan aktiviti mewarna.
Kanak-kanak yang dipindahkan ke PPS SK Atas Tol melakukan aktiviti mewarna.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin baik dengan jumlah penduduk dipindahkan berkurangan kepada 199 orang dari 53 keluarga setakat jam 8 pagi Selasa, berbanding 659 orang pada pagi Isnin.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Besut dan Setiu bagi menempatkan mangsa.

Menurut kenyataan itu Kuala Terengganu merekodkan jumlah mangsa paling ramai dengan 84 orang dari 26 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol dan SK Chendering.

"Di Kuala Nerus, terdapat 54 mangsa melibatkan 12 keluarga di SK Bukit Nanas manakala di Dungun pula, seramai 24 mangsa ditempatkan di SK Tok Kah," kata kenyataan itu pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, setakat ini hanya sebuah PPS masih dibuka di Kemaman, Besut dan Setiu.

"Balairaya Padang Kemunting, Kemaman menempatkan 23 mangsa dari empat keluarga dan di Besut, seramai 12 mangsa berlindung di Balairaya Kampung Pantai.

"Setiu merekodkan jumlah mangsa terjejas paling sedikit iaitu hanya dua penduduk melibatkan sebuah keluarga dipindahkan ke surau Kampung Nyatoh," katanya.

Artikel Berkaitan: