Banjir kilat: Jumlah mangsa di Johor meningkat

Anggota APM memantau keadaan banjir kilat
di Kampung Kuala Paya
Anggota APM memantau keadaan banjir kilat di Kampung Kuala Paya
A
A
A

SEGAMAT - Jumlah mangsa banjir kilat di daerah ini menunjukkan peningkatan apabila tujuh lagi mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Paya di sini, petang tadi.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), jumlah mangsa berkenaan dilaporkan meningkat kepada 34 orang daripada 11 keluarga berbanding 27 orang daripada sembilan keluarga pagi tadi.

"Setakat jam 2 petang Isnin, jumlah mangsa banjir kilat berkenaan didapati meningkat dan menyebabkan satu PPS dibuka di Balai Raya Kampung Paya bagi menempatkan tujuh mangsa daripada dua keluarga.

"Kesemua mangsa banjir kilat itu melibatkan penduduk dari Kampung Kuala Paya yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku pada Ahad," menurut laporan berkenaan.

Untuk rekod, banjir kilat dilaporkan berlaku di Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya, di sini susulan hujan lebat selama beberapa jam pada Ahad.

Hujan lebat berkenaan juga dipercayai menyebabkan berlaku limpahan air dari Sungai Muar dan seterusnya menyebabkan berlakunya banjir kilat.

Sementara itu menurut laporan berkenaan, setakat 8 pagi Isnin, paras air Sungai Muar di Kampung Awat, Batu Anam, menunjukkan sedikit penurunan namun ia tetap melepasi paras bahaya dengan bacaan 19.85 meter (m) berbanding 19.88m pagi tadi.

Laporan berkenaan memaklumkan bacaan paras air di Buloh Kasap turut berada di paras amaran apabila mencatatkan bacaan 8.95m berbanding 8.94m pagi tadi.

Artikel Berkaitan: