Kerajaan perlu serius perangi rasuah

No Image Caption
A
A
A

MUNGKIN ramai daripada rakyat negara ini yang tidak mengetahu FCi atau menyedari mengenai Hari Antirasuah Antarabangsa yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana ia jarang disambut secara besar-besaran selain kurang mendapat liputan media.

Seperti mana pada tahun-tahun sebelumnya, Hari Antirasuah peringkat Malaysia yang disambut pada Jumaat lalu turut mengalami nasib sama. Selain program anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Rasuah Busters Sinar Harian bersama rakan-rakan gabungannya, tidak banyak atau tiada majlis sambutan khusus diadakan bagi memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah.

Sepatutnya sambutan Hari Antirasuah pada tahun ini perlu diadakan secara lebih menyerlah di peringkat kerajaan Pusat, negeri, agensi-agensi kerajaan dan swasta - apatah lagi kebanyakan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, menjadikan slogan memerangi rasuah bagi memenangi hati para pengundi.

Bayangkan jika kerajaan menganjurkan Hari Antirasuah secara besar-besaran di seluruh negara dengan kerjasama pasukan Rasuah Busters Sinar Harian, rakyat jelata tentunya sedikit sebanyak akan lebih yakin dengan slogan yang dicanangkan oleh parti-parti politik dalam kempen mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Facebooknya sempena sambutan Hari Antirasuah menegaskan bahawa kerajaan akan terus konsisten dalam usaha memerangi rasuah di negara ini dan bukan hanya terhad kepada penguatkuasaan.

"Nilai-nilai seperti integriti, akhlak dan etika adalah aspek yang perlu diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara,'' katanya.

Rakyat tentunya tertunggu-tunggu sejauh mana tahap keseriusan dan kesungguhan kerajaan dalam menangani rasuah bagi memastikan hasil kekayaan negara daripada wang cukai rakyat jelata tidak terus dibolot secara rakus oleh sesetengah pemimpin serta pegawai-pegawai kerajaan atau swasta yang korup.

Reformasi

Artikel Berkaitan:

Kerajaan perlu melakukan reformasi dalam misi memerangi rasuah terutama memperkenalkan peraturan-peraturan yang lebih ketat agar menutup saluran dan 'lubang-lubang' untuk berlakunya rasuah dapat dikesan lebih awal.

Ia termasuk mengetatkan proses permohonan pembelian peralatan, perolehan atau projek-projek bernilai tinggi yang mana permohonan berkenaan mesti disertakan dengan 'salinan' kepada SPRM atau Jabatan Audit Negara. Ini bagi membolehkan unsur rasuah dapat dikesan lebih awal dan tidak menunggu sehingga berlaku perbuatan rasuah atau projek sudah siap atau peralatan sudah dibeli dengan harga yang ada unsur rasuah barulah pihak berkuasa hendak bertindak.

Laporan Audit Negara pada tahun 2015 mencatatkan penyelewengan dalam perolehan oleh agensi dan jabatan awam merupakan faktor tertinggi yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan. Contoh penyelewengan dalam perolehan adalah seperti mengemukakan dokumen tuntutan untuk bayaran walaupun kerja atau perkhidmatan tidak dilaksanakan atau pembekalan yang dibuat tidak mengikut spesifikasi serta kuantiti seperti dituntut.

Seperkara lagi, menurut SPRM, perolehan kerajaan merupakan satu bidang yang amat terdedah kepada perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Pegawai yang terlibat dengan perolehan sentiasa berdepan risiko terlibat dengan jenayah serius ini.

Hukuman bagi pesalah rasuah perlu dikaji semula dan jika perlu, hukuman rotan wajar dikenakan juga ke atas pesalah rasuah kategori warga emas. Jika di China dan Vietnam, hukuman mati dikenakan terhadap pesalah rasuah, kenapa hukuman rotan dikecualikan ke atas pesalah rasuah kategori warga emas di Malaysia.

Mesej mengenai rasuah harus kerap dilontarkan dan diperingatkan kepada semua peringkat perjawatan dalam perhimpunan mingguan atau bulanan sama ada daripada Perdana Menteri, menteri-menteri besar, menteri-menteri kabinet atau ketua-ketua jabatan agar mesej antirasuah tersemat kukuh dalam sanubari setiap kakitangan.

Selain peranan kerajaan, institusi agama dan rakyat dari segenap lapisan perlu menyambut gesaan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang mengajak rakyat untuk terus menggemakan suara melawan rasuah dalam merealisasikan matlamat #MalaysiaTanpaRasuah.

"Sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2022, saya berharap seluruh rakyat Malaysia jangan berhenti bersuara dengan lantang atau jangan berhenti gemakan suara kebencian kita terhadap sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa,'' tegas Hussamuddin dalam kenyataan sempena Hari Antirasuah Antarabangsa.

Institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam setiap negeri boleh kerap menyemarakkan sentimen atau perasaan benci rasuah dalam khutbah solat Jumaat dan mengarahkan para imam di masjid dan surau untuk sentiasa menyelitkan dalam doa selepas solat dengan peringatan terhadap bahaya dan dosa jika terlibat rasuah.

Dan kita juga amat berharap agar kerajaan memberi perhatian serius kepada Hari Anti Rasuah dengan mengadakan pelbagai program bagi menyebarluaskan mesej antirasuah di kalangan rakyat negara ini.

*Marzuki Yusoff ialah Penyunting Sinar Harian