Iring Shahidan hari penamaan calon alasan Shamsiah dipecat

Shamsiah
Shamsiah
A
A
A

KANGAR - Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yassin mengakui terkejut dengan keputusan pemecatan keahliannya dalam parti atas alasan beliau mengiringi suaminya, Datuk Seri Shahidan Kassim yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) pada hari penamaan calon.

Shamsiah berkata, parti memutuskan tindakan berkenaan dengan menyatakan beliau terlibat secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, sepanjang tempoh kempen PRU15 beliau tidak dapat turun membantu calon BN dan hanya berada di rumah kerana semua akses sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian telahpun disekat oleh 'war room' parti berkenaan.

"Saya rasa ralat sebab baru-baru ini dipanggil Lembaga Disiplin UMNO menyatakan saya sabotaj Barisan Nasional (BN). Masa hari penamaan calon saya mengiringi suami sahaja atas dasar isteri calon tidak ada rasa nak sabotaj BN.

"Dua hari lepas saya dimaklum dipecat dan saya terkejut. Saya tidak puas hati... sepatutnya lembaga disiplin panggil saya sebab surat tunjuk sebab sudah diberi pada 24 November lalu tapi tiba-tiba dipecat, tidak adil macam ini," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Taman Tembusu dekat sini pada Ahad.

Shamsiah merupakan antara tiga pemimpin UMNO yang dipecat pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis.

Dua pemimpin lagi adalah Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri kepada penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abu Talib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan keanggotaan ketiga-tiga mereka tergugur secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Artikel Berkaitan:

Jelas Shamsiah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi perlu menilai kembali setiap tindakan dan keputusan yang diambil sehingga menyaksikan UMNO hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15.

"Tidak pernah saya mahu khianat pada parti sendiri. Saya tidak faham mengapa orang yang sepatutnya diambil tindakan tidak diambil pula, terus buang orang itu, buang orang ini. Buat macam-macam dalam ucapan 'No Anwar No DAP' sekarang apa dah jadi?

"Kalau UMNO nak kembali menjadi parti yang hebat, buatlah sesuatu. Pecat orang itu, pecat orang ini apa yang dia dapat. Orang gelak sahaja," ujar beliau lagi.

Tambahnya, buat masa ini beliau akan bergerak bersama badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional untuk terus membantu masyarakat di Arau dan seluruh negeri Perlis.