Bawa dadah, barangan curi rupanya...

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki yang cuba melarikan diri apabila ditahan polis diberkas bersama dadah dan pelbagai peralatan pecah rumah termasuk barangan curi dalam sebuah kereta di Jalan Sungai Jati di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek yang memandu kenderaan jenis Honda Accord itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota polis daripada Rondaan Cegah Jenayah, Balai Polis Klang kira-kira jam 11.45 malam di kawasan Jalan Hulubalang 10, Taman Sentosa.

"Suspek telah diarahkan supaya memberhentikan kenderaan yang dipandunya, bagaimanapun suspek tidak bertindak seperti diarahkan malah terus memecut laju untuk melarikan diri.

"Anggota polis bertugas kemudian mengekori kenderaan suspek sehingga lampu isyarat Jalan Bendahara 10B, Jalan Sungai Jati Klang dan berjaya menghalang kenderaan yang dipandu suspek," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Katanya, suspek kemudian bertindak agresif dengan melanggar kenderaan yang dinaiki anggota polis dan tiga kenderaan orang awam di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun cubaan suspek untuk meloloskan diri itu gagal apabila suspek berjaya diberkas di kawasan berdekatan tempat kejadian tersebut.

"Suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dan didapati mempunyai pelbagai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas kereta yang dinaiki oleh suspek untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta berkenaan telah menjumpai satu gram pil aluminium foil warna merah disyaki dadah jenis erimin 5 yang disimpan di dalam bekas warna perak digantung bersama kunci kereta.

"Pemeriksaan dalam bonet kereta suspek turut menemukan pelbagai barang peralatan pecah rumah yang telah diubah suai serta pelbagai telefon bimbit disyaki barang curi," katanya.

Ujar Hong Foong, kesemua barangan tersebut dirampas bagi siasatan lanjut pihak polis.

"Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek kini direman empat hari bagi siasatan lanjut," katanya.