Ada hikmah Muda tiada dalam kabinet - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akur dan menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menyenaraikan parti itu dalam barisan kabinet.

Ahli Parlimen Muar itu menganggap, ketiadaan Muda sebagai satu hikmah selain menegaskan, pelantikan ahli kabinet adalah prerogratif Perdana Menteri.

"Sejujurnya, saya rasa ada hikmah Muda tidak dimasukkan ke dalam kabinet. Ia tidak memisahkan kita dengan rakyat, (malah) memberikan ruang dan peluang lebih besar untuk kita bawa suara rakyat di dalam dan di luar Parlimen.

"Tidak ada tembok kuasa yang memisahkan Muda dengan rakyat. Bagi diri saya ada hikmah juga, dapatlah saya fokus untuk berkhidmat membela orang Muar dan untuk membangunkan kawasan saya.

"Saya mengucapkan tahniah kepada menteri dan timbalan menteri yang dilantik, terus jalankan amanah dengan baik untuk membangunkan negara sebagai negara maju," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu Syed Saddiq berkata, ketiadaannya dalam kabinet secara tidak langsung memberi peluang buatnya membersihkan nama berkaitan kes mahkamah yang dihadapi ketika ini.

"Dalam perjumpaan saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya tekankan tidak mahu kes digugurkan kerana saya mahu keadilan ditegakkan dalam mahkamah.

"Berani kerana benar dan kebenaran akan terbukti. Masa untuk berpolitik sudah tamat, mari kita fokus berkhidmat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Oktober lalu, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diperintahkan membela diri bagi empat pertuduhan jenayah berkaitan dana parti berjumlah RM1.12 juta.

Tarikh perbicaraan akan berlangsung pada 22 hingga 24 Februari, 13 dan 14 Mac, serta 10 hingga 14 April tahun depan.