MBPG pasang 10 'smart pole' kesan pencemaran di Pasir Gudang

Asman Shah melihat ruang pameran sebelum menyempurnakan Majlis Pelancaran Rehabilitasi Sungai Buloh di Pasir Gudang pada Sabtu.
Asman Shah melihat ruang pameran sebelum menyempurnakan Majlis Pelancaran Rehabilitasi Sungai Buloh di Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memasang peranti 'smart pole' di 10 kawasan 'hotspot' seperti sungai, kawasan perindustrian dan komuniti di daerah ini bagi mencegah kegiatan pencemaran alam sekitar.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, 'smart pole' yang berfungsi memantau serta mengesan aktiviti pencemaran itu dilengkapi dengan alat yang mampu mengesan parameter tertentu seperti pH, amonia dan nitrat serta mempunyai penggera yang akan memberikan amaran sekiranya terdapat pencemaran berlaku.

"Smart pole juga mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan bukan sahaja boleh mengesan pencemaran di air, tetapi juga udara dan bunyi. Sepuluh lokasi hotspot termasuk Sungai Kim Kim telah dipasang peranti itu bermula bulan lepas.

“Kalau sensor kesan ada yang melepasi parameter dan berbahaya untuk penduduk, penggera akan berbunyi dan beri amaran kepada kita dan juga penduduk sekitar bahawa terdapat pencemaran berlaku di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rehabilitasi Sungai Buluh di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB), Pandai Othman.

Tambah Asman, CCTV pada peranti itu juga boleh merakam gambar individu yang melakukan pencemaran termasuk aktiviti pembuangan sampah haram.

"Setakat ini kita telah buat proof of concept (POC) dekat 10 lokasi, sebab kita hendak tangkap individu yang tidak bertanggungjawab buat pencemaran,” katanya.

Menurutnya, sejak pemasangan peranti itu, tiada laporan pencemaran diterima sehingga kini dan selepas ini MBPG menyasarkan untuk pasang di 200 lokasi lagi di Pasir Gudang pada tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MBPG turut menubuhkan Jawatankuasa Kelestarian Sungai Kim Kim yang melibatkan pemain industri, komuniti dan pelbagai agensi termasuk Jabatan Parit dan Saliran (JPS) pada Julai lalu.

Katanya, jawatankuasa berkenaan diwujudkan selepas mengambil kira apa yang berlaku di Sungai Kim Kim tiga tahun lalu selain turut memberi perhatian sama terhadap 25 sungai di Pasir Gudang.

“Sebab kita hendak pastikan bahawa kualiti di sungai-sungai ini diperbaiki lagi dengan penggunaan teknologi-teknologi sedia ada,” katanya.

Pihaknya juga sedang dalam proses menyiapkan kertas kerja untuk diberikan kepada kerajaan negeri, bagi menaik taraf jawatankuasa itu menjadi Majlis Kelestarian Sungai Kim Kim dengan cadangan agar dinaungi oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Terdahulu, MBPG dan MHB menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan Program Rehabilitasi Sungai Buluh di sini selama tiga tahun.

Pandai berkata, tujuannya bagi memelihara sungai tersebut yang merupakan antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus mendidik orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.