Jangan terima panggilan meragukan - Ramli

Ramli
Ramli
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak menerima panggilan yang meragukan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka sebaliknya perlu membuat semakan dengan pihak polis dan agensi kerajaan berkaitan terlebih dahulu.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak memberikan sebarang maklumat perbankan.

"Jangan dedahkan apa-apa maklumat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu, Ramli mendedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima dua laporan polis berkenaan penipuan dalam talian sehingga menyebabkan mangsa kehilangan duit dan nyawa.

Jelasnya, pada awal bulan lalu, seorang warga emas yang merupakan peneroka Felda telah mengalami kerugian RM140,000 selepas diperdaya oleh seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ramli menambah, suspek telah mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

"Mangsa yang terkejut dan takut telah memberikan semua maklumat bank sehingga menyebabkan dia mengalami kerugian RM 140,000.00 hasil daripada wang simpanannya yang bekerja sebagai peneroka dan perniagaan menjual baja di sekitar kawasan Chini, Pekan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam senario yang lebih buruk, Ramli berkata, seorang lelaki telah ditemukan mati di kebun durian di jalan Felcra Kerdau, Temerloh pada Khamis.

Menurutnya, mangsa dikatakan telah diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai syarikat kurier dan pegawai polis sehingga mengalami kerugian RM 156,000.

"Difahamkan sumber kewangan mangsa adalah hasil daripada penjualan harta. pusaka iaitu sebuah rumah di Mentakab, Temerloh," katanya lagi.