'Menteri besar tidak boleh dipengaruhi polemik luar'

Osman menandatangani surat penyerahan kuasa sambil diperhatikan Sahruddin di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, hari ini.
Osman menandatangani surat penyerahan kuasa sambil diperhatikan Sahruddin di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pegangan serta bidang kuasa seorang menteri besar tidak boleh dipengaruhi sebarang polemik luar bagi memastikan kerja-kerja mengendalikan sebuah negeri dapat dibuat dengan fokus dan saksama.

Saranan itu diberikan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian kepada penggantinya Dr Sahruddin Jamal yang telah memulakan tugas rasmi di Kota Iskandar, hari ini.

“Saya juga berharap sebagai orang politik dan ketua kerajaan perlu sentiasa fokus kepada kerja kita, jangan hanya kita mengambil kira polemik luar untuk menggugat prestasi kerja kita.

“Kerana zaman sekarang ini zaman media sosial, ia berlainan sangat semasa era saya menjadi wakil rakyat pada tahun 90-an dulu atau menteri besar yang lepas, sekarang sangat maju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai menandatangani surat penyerahan kuasa kepada Sahruddin di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Osman berkata, dirinya juga tidak terkilan kerana terpaksa menyerahkan jawatan itu kerana yakin kuasa telah diserahkan kepada individu yang layak.

“Saya tidak terkilan kerana melepaskan jawatan ini, saya tahu Dr Sahruddin seorang yang kuat bekerja dan tahu apa yang dia lakukan. Sebab itu saya juga melantiknya sebagai Setiausaha Bersatu Johor untuk membantu saya,” katanya.

Sementara itu, Sahruddin pada majlis sama turut merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas menteri besar itu kerana telah menjalankan tugas yang baik sepanjang 11 bulan memegang jawatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Ini merupakan prosedur biasa di mana kita akan melakukan penyerahan serah terima tugas ini.

“Terima kasih kepada Datuk Osman dan mereka di sekelilingnya kerana telah berjaya memberikan khidmat terbaik sepanjang tempoh ini,” katanya.

Sahruddin yang sebelum ini Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian dilantik menggalas tanggungjawab itu selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.