Kanak-kanak lelaki parah diserang buaya di Lahad Datu

Kanak-kanak yang diserang buaya kini dalam keadaan stabil selepas dirawat di Hospital Lahad Datu.
Kanak-kanak yang diserang buaya kini dalam keadaan stabil selepas dirawat di Hospital Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU – Seorang kanak-kanak lelaki parah selepas diserang buaya dalam kejadian di Kampung Air, di sini, pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu cedera di bahagian kaki kanan akibat dibaham buaya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan hendak turun ke bawah rumah untuk mengambil ayam ternakannya.

"Ketika itu sepupunya berada di tempat kejadian dan ternampak haiwan berkenaan lalu menjerit dengan memberi amaran kepada mangsa.

"Mangsa kemudian berlari untuk menyelamatkan diri dan cuba naik semula ke atas jambatan berhampiran dengan rumahnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, buaya berkenaan sempat menyerang mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

"Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelah kanan dan segera dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

"Mangsa menjalani pembedahan di bahagian tulang kaki kanan yang didapati retak dan kini dalam keadaan stabil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Rohan turut memaklumkan bahawa Polis Daerah Lahad Datu telah mengenal pasti sebanyak 28 lokasi sarang buaya di daerah itu.

"13 lokasi di kawasan Lahad Datu, lapan dk Desa Kencana dan empat di kawasan Tambisan," katanya.