Fadhlina dengar pandangan mengenai isu pendidikan

Fadhlina menenangkan adik, Mohamad Zafril Amsyar Mohd Hafiz, 8, yang akan berkhatan ketika Program Khatan Perdana Kadun Jawi 2022 pada Sabtu. - Foto Bernama
Fadhlina menenangkan adik, Mohamad Zafril Amsyar Mohd Hafiz, 8, yang akan berkhatan ketika Program Khatan Perdana Kadun Jawi 2022 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam proses mendengar dan mengambil pandangan daripada semua pihak berhubung beberapa isu bagi memastikan pendidikan negara menjadi lebih baik.

Beliau berkata, berikutan Kementerian Pendidikan yang diterajuinya antara yang besar, adalah penting untuk mengadakan konsultasi dengan pelbagai pihak terlibat sebelum membuat sebarang pendirian berhubung pendidikan negara.

"Ada beberapa isu dalam pendidikan yang kita sedang lihat dan ketika ini proses saya mendengar serta mengambil pandangan daripada semua pihak terutama konsultasi kerana ia sangat penting kepada saya sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan Kementerian Pendidikan.

"Konsultasi ini melibatkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, pengarah-pengarah pendidikan, guru-guru, pemegang taruh, ibu bapa dan kanak-kanak sendiri. Saya akan mengambil semua pandangan serta kritikan diberikan oleh mereka secara serius," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu ditemui selepas hadir pada Program Khatan Perdana Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi. Program yang disertai 100 kanak-kanak itu dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Fadhlina berkata, satu sidang akhbar khas akan diadakan minggu depan bagi mengumumkan beberapa perkara terutama perkara berbangkit dan pendirian Kementerian Pendidikan berhubung isu pendidikan.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjung sebagai Timbalan Menteri Pendidikan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam Jumaat.

"Saya mengalu-alukan Ahli Parlimen Tanjung yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dan saya percaya pelantikan ini antara langkah memastikan pendidikan negara menjadi lebih baik," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: