Budak 7 tahun lemas jatuh tali air

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas di tali air di Kampung Jambu Merah, Melor pada Jumaat. - Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas di tali air di Kampung Jambu Merah, Melor pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas di tali air di Kampung Jambu Merah, Melor di sini pada Jumaat.

Muhammad Uwais Arsyad Mohd Safwan disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarganya ke tali air itu pada jam 5 petang kerana bapanya yang berusia 33 tahun ingin memukat dan memancing ikan.

“Sampai di lokasi kejadian, mangsa meminta kebenaran bapanya untuk turun bermain di tali air berkenaan.

"Lelaki itu membenarkannya sebelum terus memancing ikan di kawasan petak sawah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Sabtu.

Menurutnya, selang beberapa minit kemudian, bapanya mendapati anak lelakinya tiada dan cuba mencari di sekitar kawasan berkenaan.

“Lelaki tersebut mencari anaknya termasuk hingga di dalam tali air dan mendapati mangsa berada di dasar tali air.

“Mangsa dibawa naik ke tebing dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mahligai, Bachok namun disahkan meninggal dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati sebab-sebab kematian mangsa akibat lemas.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.