Banjir terburuk landa Selangor, MBSA laksana SASUD

Izham (tiga dari kiri) menyempurnakan projek pecah tanah SASUD di Taman Sri Muda di sini pada Jumaat
Izham (tiga dari kiri) menyempurnakan projek pecah tanah SASUD di Taman Sri Muda di sini pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASUD) diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan banjir teruk yang melanda kawasan itu penghujung tahun lepas.

Exco Infrastruktur Dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, SASUD merangkumi naik taraf sistem perparitan utama, kolam takungan dan menambah sistem saliran bagi menampung purata hujan luar biasa.

Menurutnya, SASUD turut berperanan menyokong sistem tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan membina sistem ramalan dan pemantauan banjir perbandaran secara bersepadu berkonsepkan Artificial Intelligence (AI).

"Pelaksanaan awal SASUD ini secara jangka pendek dan berfasa. Fasa satu merangkumi 30 projek dan fasa dua pula merangkumi 19 projek.

"Pelan pelaksanaan projek ini dibahagikan kepada tujuh lembangan iaitu lembangan Sungai Kandis, lembangan Sungai Rasah, lembangan Sungai Renggar, lembangan Sungai Binjai/Sungai Puloh, lembangan Sungai Buloh, lembangan Sungai Air Kuning/Sungai Damansara dan lembangan Sungai Rasau," katanya ketika menyempurnakan projek pecah tanah SASUD di Taman Sri Muda di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kerja pecah tersebut melibatkan kerja membina rumah pam di Jalan Saksama 25/39 dan Jalan Khidmat 25/35 serta kerja-kerja berkaitan infrastruktur di Taman Sri Muda, Seksyen 25.

Jelasnya, sebanyak empat empat projek SASUD telah diluluskan oleh kerajaan Selangor bagi mengatasi masalah banjir di kawasan pentadbiran MBSA membabitkan kos keseluruhan bernilai RM14.6 juta.

"Projek pertama adalah membina rumah pam di Persiaran Aman dan kerja-kerja infrastruktur di Taman Sri Muda Seksyen 25 manakala projek kedua membina rumah pam di Jalan Saksama 25/39 dan Jalan Khidmat 25/35 serta kerja-kerja infrastruktur di Taman Sri Muda.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga adalah menaik taraf rumah pam serta kerja- kerja berkaitan infrastruktur di Seksyen 13 dan Seksyen U1 serta terakhir membaik pulih dan naik taraf sistem pembentungan di sebahagian Kampung Bukit Naga Seksyen 32, Shah Alam," katanya.