RM19,000 menanti pemenang pertandingan WAWI anjuran SWCorp

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar ketika ditemu bual di Bangunan Ibu Pejabat SWCorp, Cyberjaya pada Khamis.
Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar ketika ditemu bual di Bangunan Ibu Pejabat SWCorp, Cyberjaya pada Khamis.
A
A
A

CYBERJAYA - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mempertaruhkan wang tunai RM19,000 sebagai hadiah keseluruhan bagi penganjuran Pertandingan Reka Bentuk From Waste to Wealth Innovation (WAWI).

WAWI yang dianjurkan dengan kerjasama SWCorp dan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) bertujuan memastikan kejayaan dalam mengaplikasikan Dasar Kebersihan Negara di Malaysia iaitu meningkatkan tahap kesedaran bagi membudayakan kebersihan dan amalan 3R dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan inovasi sisa sebagai sumber pendapatan (Waste to Money) ke arah ekonomi kitaran (Circular Economy).

Penganjuran pertandingan ini merupakan aktiviti bagi Strategi 3.2 untuk menjana pendapatan dengan menggalakkan penghasilan produk baharu daripada bahan kitar semula (upcycling).

MRM sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula bertanggungjawab dalam menerajui industri reka bentuk negara.

Kerjasama menerusi WAWI dengan agensi ini melibatkan khidmat nasihat dari segi aspek teknikal, kepakaran, penilaian dan pelaksanaan promosi berkaitan pertandingan ini.

RIZALMAN
RIZALMAN

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, penganjuran WAWI dengan kerjasama MRM bagi julung kali itu membuka penyertaan bermula 2 Januari hingga 6 Mac tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Wang tunai tersebut akan diberikan kepada pemenang pertama hingga ke tiga dan lima saguhati dalam kategori profesional dan komuniti," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelas Rizalman, setiap penyertaan akan melalui dua peringkat iaitu pemilihan konsep dan idea serta penghantaran produk dan prototaip untuk dinilai.

"Peringkat pertama adalah peringkat pra pemilihan di mana peserta menghantar idea dan lakaran awal produk manakala peserta yang disenarai pendek perlu menghantar produk akhir mereka," katanya.

Konsep penjurian

Sementara itu kata Rizalman, penjurian penyertaan pada peringkat pertama akan dilakukan pada 13 hingga 17 Mac. Selepas keputusan dikeluarkan, peserta diberi tempoh untuk menyiapkan produk mereka. Penghantaran produk boleh dilakukan bermula 20 Mac sehingga 1 Ogos.

Jelasnya, WAWI merupakan satu langkah ke hadapan yang lebih proaktif.

"Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat serta industri mengenai potensi barangan terpakai dan kitar semula sebagai suatu komoditi dan boleh menjana pendapatan," jelasnya.

Poster pertandingan WAWI.
Poster pertandingan WAWI.

Menurut beliau, pelaksanaan program WAWI itu juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Ke-12 yang menggariskan pengurangan penjanaan sisa pepejal menjelang tahun 2030 melalui aktiviti kitar semula, sifar sisa, pengurusan sisa yang efektif demi pembangunan mampan dan kesejahteraan alam sekitar secara berterusan.

"Kerana itulah kita mengangkat tema Aliran Fesyen Lestari sebagai signifikan kepada usaha pemulihan alam sekitar dan penjanaan sumber pendapatan sampingan masyarakat.

"Kita lihat banyak sisa buangan yang terdiri daripada barangan kitar semula seperti plastik, tin aluminium, kertas, fabrik dan lain-lain terbuang begitu sahaja. Daripada dibuang, eloklah bahan tersebut diolah menjadi satu produk yang akhirnya memberi pulangan kepada perekanya," ujarnya.

Tambah Rizalman, setiap produk akhir akan dinilai oleh pasukan juri bermula 7 hingga 11 Ogos sebelum pameran awam dilakukan selama sebulan bermula 1 November.

Info lanjut dan syarat penyertaan boleh didapati di laman sesawang MRM dan SWCorp iaitu www.mrm.gov.my atau swcorp.gov.my serta laman-laman sosial rasmi agensi itu.