BN kaji sentimen pengundi

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) sedang mengkaji sentimen pengundi terhadap gabungan tersebut susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Tioman di Pahang.

Bendahari agungnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu hantaran di Facebook berkata, ia penting bagi memahami kedinamikan sokongan mereka demi masa hadapan BN.

"Perkara ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti.

"Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang. Saya tidak mahu menunding jari menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak menyalahkan parti," ujarnya pada Jumaat.

PRU15 di Parlimen Padang Serai menyaksikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) apabila calonnya, Datuk Azman Nasrudin memperolehi 51,637 undi manakala saingan utamanya daripada PH, Dr Mohamad Sofee Razak mendapat 35,377 sokongan.

Pada masa yang sama, wakil BN, Datuk C Sivaraj meraih undian sebanyak 2,983 undian sementara Hamzah Abd Rahman yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meraih 424 sokongan.

Selain itu, Parti Warisan (Warisan) yang mempertaruhkan Mohd Bakhri di kerusi itu memperolehi 149 undi manakala calon Bebas, Sreanandha Rao mendapat 846 sokongan.

Di DUN Tioman pula, BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut apabila calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain mendapat 8,080 undian mengalahkan wakil daripada PN, Nor Idayu Hashim yang memperolehi 7,507 sokongan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ia merupakan kemenangan tipis buat gabungan itu kerana hanya mendapat majoriti undi sebanyak 573.

Sementara itu, Hishammuddin menambah, kerajaan kini sedang berhadapan dengan pelbagai isu seperti rakyat seperti kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa.

Beliau mendoakan agar seluruh pimpinan kerajaan dapat menanganinya dengan baik.

"Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab dan dipermudahkan," jelasnya.