Nak 'selamatkan' adik, peniaga rugi RM15,000 ditipu polis palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga kerugian RM15,000 selepas ditipu Macau Scam yang menyamar sebagai polis dalam kejadian pada Ahad.

Kejadian berlaku ketika wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai anggota dari Balai Polis Kuala Krai.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek kira-kira jam 5 petang Ahad lepas.

Menurutnya, suspek menawarkan untuk menyelesaikan kes adik mangsa atas satu kesalahan dan mangsa bersetuju membayar sebanyak RM17, 000 selepas rundingan.

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dan menunggu arahan seterusnya," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Azman berkata, apabila mangsa tiba di IPD Kuala Krai kira-kira jam 7.10 malam, suspek membuat panggilan mengarahkan mangsa pergi ke bank berdekatan untuk memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan.

"Tanpa mengesyaki dirinya ditipu, mangsa memasukkan duit sebanyak RM15,000 ke dalam akaun yang disebut oleh suspek sebelum diminta menunggu arahan seterusnya," katanya.

Bagaimanapun, Azman memberitahu, mangsa kemudian menyedari ditipu selepas lama menanti arahan dan tidak lagi dihubungi 'anggota polis' terbabit.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Kuala Krai pada Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.