Kerjasama Takaful-Agrobank beri manfaat kepada petani, nelayan

Tengku Ahmad Balishah (kiri) Nor Azman (Kanan) ketika majlis tandatangan memorandum persefahaman (MOU).
Tengku Ahmad Balishah (kiri) Nor Azman (Kanan) ketika majlis tandatangan memorandum persefahaman (MOU).
A
A
A

SERAMAI kira-kira 1.2 juta petani dan nelayan di seluruh negara bakal mendapat manfaat daripada segi pelan perlindungan melalui Perkongsian Strategik Bancatakaful antara Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia Keluarga) dan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank).

Menurut Ketua Pegawai Ekskutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, pelan tersebut penting kerana ia dapat memberikan jaminan keselamatan diri lebih baik kepada golongan berkenaan.

Ujar beliau, petani dan nelayan merupakan watak penting dalam perkembangan industri negara.

"Ramai dalam kalangan petani dan nelayan tidak mempunyai pelan perlindungan dan tidak menyedari tentang kepentingannya.

"Sebagai tambahan kepada pelan perlindungan tersebut, produk takaful khusus seperti pelan rancangan persaraan, pendidikan dan perubatan mampu milik akan diperkenalkan kepada agripreneur daripada komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan seperti golongan berpendapatan rendah (B40), asnaf, wanita dan orang kelainan upaya (OKU) ini.

"Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif melangkaui perbankan bank untuk merapatkan lagi jurang perlindungan takaful terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar," katanya semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara kedua-dua syarikat berkenaan pada Jumaat di Pullman KL City Centre, dekat sini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Keluarga, Nor Azman Zainal.

Perkongsian strategik antara kedua-dua syarikat bermula dari 1 Disember 2022 dan dijangka berakhir pada 31 Disember 2027.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nor Azman dalam majlis itu berkata, perkongsian berkenaan akan memberi akses keselamatan kewangan lebih baik kepada pelanggan Agrobank melalui produk takaful am dan keluarga.

Jelas beliau, kerjasama itu bertepatan pada masanya untuk mengukuhkan kedudukan syarikat tersebut dalam industri pelan perlindungan.

"Kami juga memperuntukkan RM1 juta setiap tahun sepanjang perkongsian bancanatakaful ini untuk pelanggan Agrobank yang merupakan asnaf atau penerima zakat, selaras dengan falsafah korporat kami untuk memperbaiki kehidupan dan menyumbang ke arah masyarakat penyayang," tambahnya.