Demi keselamatan, tangguh dulu percutian ke Thailand

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LAZIMNYA pada bulan Disember setiap tahun, ramai rakyat Malaysia gemar bercuti ke Thailand.

Antara lokasi popular dan mudah dikunjungi ialah Hatyai, yang terletak di Selatan Thailand dan paling hampir dengan sempadan negara. Ia juga terkenal sebagai syurga makanan negara Gajah Putih itu.

Merak Jalanan sendiri tidak ketinggalan merancang percutian selama tiga hari ke negara itu memandangkan cuti tahunan masih berbaki 21 hari.

Pelbagai lokasi telah dikenal pasti untuk dilawati. Tetapi nampak gayanya percutian itu terpaksa ditangguhkan.

Merak Jalanan bimbangkan keselamatan diri dan keluarga susulan dua tragedi letupan dalam tempoh kurang seminggu di Hatyai.

Letupan pertama berlaku Sabtu lalu apabila sebuah kereta api barang mengangkut getah tergelincir akibat letupan bom.

Kereta api itu dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar. Menurut polis Thailand, bom buatan sendiri seberat 26 kilogram itu ditanam di landasan berkenaan.

Kejadian kedua pula menyebabkan tiga pekerja perkhidmatan kereta api Thailand maut dan empat lagi cedera pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Kejadian berlaku di Sadao, Songkhla, tidak jauh dari lokasi kejadian letupan bom pada Sabtu sebelumnya.

Kejadian itu berlaku ketika tujuh pekerja syarikat berkenaan berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja membaiki landasan kereta api yang rosak akibat dibom sebelum itu.

Atas sebab itu juga pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya menangguhkan dahulu kunjungan ke Hatyai.

Cuma kepada mereka yang tetap ingin meneruskan percutian ke Selatan Thailand, anda perlulah mengambil langkah berjaga-jaga semaksimum mungkin.

Jika boleh ditangguh, tukarlah destinasi percutian di dalam negara. Negara kita juga mempunyai banyak lokasi menarik dan tersohor sebagai syurga makanan.