Mesyuarat MKT UMNO, kehadiran Rosmah cetus tanda tanya

Kehadiran Rosmah (kanan) pada malam mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn menimbulkan tanda tanya. - Foto Bernama TV
Kehadiran Rosmah (kanan) pada malam mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn menimbulkan tanda tanya. - Foto Bernama TV
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mula tiba di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini secara berperingkat bermula jam 8.30 malam bagi menghadiri mesyuarat parti itu pada Khamis.

Antara yang kelihatan adalah Pengerusi UMNO negeri Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Setakat ini, keadaan di WTC masih lagi lengang dan masih menunggu ketibaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, petugas media dikejutkan dengan kemunculan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba lebih awal diiringi seorang pengiring wanita.

Bagaimanapun tidak dipastikan tujuan kehadiran beliau namun dipercayai untuk bertemu dengan Ahmad Zahid sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut.

UMNO akan mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn, malam ini (Khamis).

Ia merupakan mesyuarat pertama selepas enam ahli parti itu dilantik menganggotai Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Antara ahli parti itu adalah Ahmad Zahid ; Datuk Seri Mohamad Hassan; Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Datuk Seri Azalina Othman Said; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.