Asyraf 'pelawa' ahli dipecat datang perbaharui samping UMNO

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO tidak pernah menghalang bekas pemimpin atau ahli yang dipecat untuk menghadiri Persidangan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka dijemput hadir tetapi perwakilan sahaja yang boleh masuk ke dalam Dewan Merdeka WTC.

Beliau secara berseloroh turut mempelawa mereka yang dipecat dari parti itu untuk datang memperbaharui samping UMNO.

“Mereka dijemput untuk datang ke Dewan Merdeka, kita ada 82 booth (reruai) karnival jualan, dia nak beli samping atau memperbaharui samping UMNO pun boleh," katanya pada sidang akhbar di Menara Dato' Onn, WTC di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada individu yang dipecat dari UMNO akan dijemput bagi menghadiri PAU kali ini atau sebaliknya.

UMNO sebelum ini telah memecat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Keputusan pemecatan dan penggantungan itu dibuat atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut mengenai kemasukan semula bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad ke dalam UMNO, Asyraf menegaskan UMNO tidak pernah membuat keputusan untuk memecat, sebaliknya beliau yang keluar dari UMNO.

“Akhirnya dia yang memohon masuk ‘UMNO’ kembali. Kita parti yang terbuka kita sedar parti tidak boleh menyekat mana-mana pihak selagi mana mereka ingin menyumbang untuk memperkukuhkan UMNO.

“Sudah tentu sebagai bekas Menteri Besar, beliau mempunyai pengalaman luas dan akrab dengan veteran UMNO.

“Mungkin itu satu kekuatan yang dapat disumbangkan, saya tak jangkakan dia nak buat ‘comeback’ dalam konteks politik, cuma bagi orang yang mempunyai pengalaman beliau sudah pasti mahu terus kekal dalam UMNO,” jelasnya.