264 waris Tengku Ngah Ibrahim, Long Jaafar disatukan

Wan Mohd Isa(kiri) meninjau pameran sejarah ketokohan Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim yang dipamerkan di perkarangan Muzium Matang, hari ini.
Wan Mohd Isa(kiri) meninjau pameran sejarah ketokohan Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim yang dipamerkan di perkarangan Muzium Matang, hari ini.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Seramai 264 waris keluarga Tengku Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar berjaya dihimpunkan melalui satu perhimpunan khas dianjurkan wakil keluarga tokoh pemimpin Perak bersejarah itu di Muzium Matang, di sini, semalam.

Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Datuk Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali berkata, perhimpunan khas itu kali kedua dianjurkan selepas 12 tahun apabila sejumlah 11 wakil keluarga utama meliputi tujuh generasi keluarga Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim berjaya disatukan meskipun kini tinggal berjauhan antara satu sama lain.

Menurutnya, objektif penganjuran majlis perhimpunan ini adalah untuk memperingati susur galur dan salasilah keturunan Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Tengku Long Jaafar yang masih hidup sehingga kini di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

"Perhimpunan khas ini turut mendapat perhatian Muzium Perak kerana sejarah ketokohan moyang kami, Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim yang suatu ketika dahulu merupakan tokoh perniagaan perusahaan bijih timah masyhur di Perak sekitar tahun 1870-an.

"Syukur Alhamdulillah, program perhimpunan ini mendapat sambutan di luar jangkaan kerana melebihi sasaran kehadiran waris keluarga yang masih hidup dan inisiatif ini turut membantu pihak muzium untuk mengemaskini data terkini kedudukan salasilah keluarga Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim untuk tatapan generasi masa hadapan,"katanya kepada media pada Majlis Perhimpunan Waris Tengku Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar di perkampungan Muzium Matang.

Sejumlah 264 waris keluarga Tengku Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar dihimpunkan dalam perhimpunan khas dianjurkan di Muzium Matang, di sini hari ini.
Sejumlah 264 waris keluarga Tengku Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar dihimpunkan dalam perhimpunan khas dianjurkan di Muzium Matang, di sini hari ini.

Wan Mohd Isa yang juga waris generasi keempat berkata, bagi menjayakan program ini, pihaknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dianggotai wakil setiap waris keluarga utama Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim bagi mengesan setiap saki-baki waris keluarga yang tinggal.

Berbekalkan pelbagai medium seperti media massa dan laman sosial Internet, beliau menegaskan kesemua waris keluarga termasuk ahli keluarga generasi ketujuh paling muda berusia tujuh bulan berjaya dikesan dalam tempoh dua bulan.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang program, pihak kami menganjurkan majlis tahlil, bacaan Yasin dan ziarah pusara Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim yang terletak di pekarangan Muzium Matang.

"Seterusnya, pihak kami menganjurkan sesi suai kenal dan perkongsian maklumat mengenai sejarah salasilah keluarga utama masing-masing yang berkaitan dengan Allahyarham moyang kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Isa menjelaskan waris keluarga Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim akan menyerahkan sebuah artifak berupa mangkuk lauk yang pernah digunakan moyang kami suatu ketika dahulu untuk dipamerkan di Muzium Matang.

"Kami juga akan berterusan mengesan saki-baki bahan tinggalan sejarah atau dokumentasi berkaitan moyang kami untuk diserahkan kepada pihak muzium bagi diabadikan untuk pengetahuan sejarah generasi akan datang," katanya.

Wan Mohd Isa(dua kanan) menyiram jirusan air bunga di pusara Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim sambil diiringi wakil waris keluarga utama lain di perkarangan Muzium Matang, hari ini.
Wan Mohd Isa(dua kanan) menyiram jirusan air bunga di pusara Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim sambil diiringi wakil waris keluarga utama lain di perkarangan Muzium Matang, hari ini.