Manifestasi kerjasama awal BN-PH diterima rakyat Pahang

Wan Embril Nizam
Wan Embril Nizam
A
A
A

KUANTAN - Penganalisis politik, Wan Embril Nizam Wan Embong menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebagai manifestasi kerjasama awal BN dan Pakatan Harapan (PH) diterima rakyat khusus di Pahang walaupun peratusan keluar mengundi agak berkurangan berbanding sebelum ini.

Menurutnya, ia antara faktor selain ketokohan dan kepimpinan diterajui Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menyelesaikan banyak isu-isu 'hutang' tertunggak melibatkan kepentingan rakyat di Tioman.

"Ia merupakan 'signal' awal bahawa kerjasama pejajaran baharu ini boleh terus dijana dan dikembangkan dalam bentuk strategik ke arah menarik sokongan pengundi Melayu-Islam pada masa akan datang, " katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga pensyarah kanan di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) berkata, dengan kedudukan kerusi 17-17 antara BN-PN di DUN Pahang tentunya memberi kelebihan 'kad penentu' berada di tangan BN.

Tambahnya, ia menerusi kuasa pentadbiran yang telah dibentuk bersama PH termasuk kuota Speaker Dewan Negeri serta ADUN lantikan yang dimiliki.

"Kini agenda pembangunan dan khidmat kepada rakyat menjadi 'ujian litmus' dan kayu ukur yang rakyat tetapkan bagi menilai sejauh mana kerjasama harmoni Kerajaan Perpaduan mampu menterjemahkan prestasi khidmat serta bakti direalisasikan.

"Tentunya kredibiliti Menteri Besar Pahang dan barisan kabinet menjadi sandaran untuk mempamerkan kualiti khidmat yg cemerlang kepada rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Embril Nizam berkata, keyakinan yang terjelma daripada kerjasama BN-PH mewujudkan kestabilan seterusnya memangkin kemakmuran bagi menyelesaikan isu permasalahan yang melingkari titik bengik kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Ia seperti kos sara hidup, ekonomi tempatan, bekalan air dan isu-isu lokaliti yang dibangkitkan dalam kempen PRU15 yang telah melabuhkan tirainya.

"Masa untuk bekerja bagi wakil-wakil yang terpilih dan menunaikan janji selaras dengan slogan Tiada Janji Lihat Bukti," tegas beliau yang menyifatkan PRU15 sebenarnya membawa kepada transisi yang baik revolusi demokrasi dalam konteks senario politik di Malaysia.