Jangan terlibat rasuah, salah guna kuasa

Alias (depan tiga dari kanan) dan Rahilah (depan dua dari kiri) bergambar bersama peserta pada Seminar Integriti: Penguatkuasa Berintegriti Memperkasa Organisasi MPKS di De Palma Resort Kuala Selangor di sini pada Khamis.
Alias (depan tiga dari kanan) dan Rahilah (depan dua dari kiri) bergambar bersama peserta pada Seminar Integriti: Penguatkuasa Berintegriti Memperkasa Organisasi MPKS di De Palma Resort Kuala Selangor di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penjawat awam di Selangor terutama mereka yang berkhidmat di unit pengurusan dan perolehan terlibat dalam proses membuat keputusan diingatkan fokus kepada tugasan selain menerapkan budaya dan nilai integriti tinggi.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim berkata, penjawat awam yang boleh memilih dan mencadangkan individu, syarikat atau pun sebut harga mestilah sentiasa telus dan tidak terlibat dalam gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"Nilai dan integriti semasa bertugas amat penting bagi memantapkan lagi perkhidmatan awam di negara ini khususnya di Selangor," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Integriti: Penguatkuasa Berintegriti Memperkasa Organisasi Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di De Palma Resort Kuala Selangor di sini pada Khamis.

Alias berkata, SPRM memandang serius perkara membabitkan salah laku penjawat awam dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pesalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.

"Ini penting bagi memastikan penjawat awam tidak terlibat dalam salah guna kuasa kerana kita ada peruntukan mencukupi untuk melaksanakan tindakan demi keadilan untuk semua," jelas beliau.

Ditanya mengenai seminar itu, Alias berkata, program anjuran MPKS itu satu usaha baik bagi mendidik penjawat awam terutama penguat kuasa untuk memastikan mereka sentiasa membudayakan nilai-nilai integriti sepanjang melaksanakan tugasan.

"Program ini dapat memastikan penjawat awam sentiasa mengamalkan nilai integriti tinggi supaya penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dihindarkan dalam memartabatkan perkhidmatan awam khususnya bahagian penguat kuasa di pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, seminar diadakan itu memberi pendedahan dan pemahaman mendalam tentang peranan dan tanggungjawab sebagai anggota penguat kuasa dalam memperkasa undang-undang dan peraturan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, penglibatan dan sokongan semua pihak dalam seminar itu mampu membina imej jabatan ke arah mempertingkatkan sistem tadbir urus cemerlang dan telus.

"MPKS sememangnya komited dalam memerangi isu rasuah dalam kalangan warganya dengan mempunyai hubungan erat dengan SPRM," katanya.