JPS diarah bertindak segera tangani banjir kilat

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan mengambil tindakan segera dan mengenal pasti punca berlakunya kekerapan banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, JPS negeri perlu melihat beberapa keperluan seperti menaik taraf perparitan sedia ada bagi mencegah kejadian yang sama berlaku setiap kali berlakunya hujan lebat.

"Punca berlakunya banjir kilat sejak akhir-akhir ini sama ada melibatkan perparitan yang kurang sesuai atau perlu dinaik taraf, perkara tersebut perlu diberikan perhatian,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Aminuddin berkata, beliau berpuas hati dengan peranan serta persediaan semua agensi di negeri ini dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir kali ini.

Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan tiga bot untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini sebagai aset untuk digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

Dalam pada itu mengulas mengenai kejadian runtuhan cerun di beberapa kawasan di negeri ini, tindakan susulan telah diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

"Kes tanah dan cerun runtuh sejak kebelakangan ini saya lihat banyak tempat dan ia melibatkan kes serius kerana menghampiri tempat tinggal dan ada yang menyebabkan jalan atau laluan itu juga terputus.

"Pihak kerajaan negeri sudah ambil tindakan melalui PBT dan JKR yang mana ketika ini mereka sedang melantik kontraktor yang berkelayakan untuk jalankan kerja pembaikan tersebut dan ada juga yang masih dalam proses penilaian kos," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Masri Razali telah meninjau di beberapa kawasan berlaku tanah runtuh seperti di Jalan Duyung 7, Taman Duyung dengan mengambil tindakan pelaksanaan slope protection akan dilakukan di kawasan itu.

Selain itu di No 666 Jalan S2 H20, Park Avenue pula, pihak MBS telah menggerakkan anggota task force bagi kerja pembersihan dan menutup cerun dan turut meninjau di No 231, Jalan TBS 9, Taman Bunga Sejati, Rantau, yang dilaporkan berlaku tanah runtuh di bahagian belakang kediaman tersebut.