PRU15: Calon tarik diri tetap boleh diumum pemenang

Abdul Ghani (kanan) meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah Kulim pada Rabu.
Abdul Ghani (kanan) meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah Kulim pada Rabu.
A
A
A

PADANG SERAI - Calon yang telah umum menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan tetap diumum sebagai pemenang sekiranya memperoleh undi majoriti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ini kerana kesemua calon telah disahkan bertanding semasa proses penamaan calon berlangsung.

Menurutnya, tempoh telah diberikan sehingga jam 10 pagi hari penamaan calon, 24 November lalu dan kesemua pencalonan telah disahkan serta layak bertanding.

"Calon yang tarik diri hanya waktu pencalonan sahaja selepas jam 10 pagi sudah tidak ada, maknanya walaupun tarik diri (selepas itu) dia sudah disahkan bertanding dan layak diumumkan sebagai pemenang jika mendapat undi majoriti, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah Kulim pada Rabu.

Sebelum ini, calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj dan calon Parti Warisan, Mohd Bakhri Hashim mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak.

Di Tioman pula, calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly telah mengumumkan memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain sebagai tanda penyatuan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk antara kedua-dua parti.

Pengundian di kedua-dua kawasan itu diadakan pada Rabu 7 Disember 2022 susulan kematian calon PH di Parlimen Padang Serai pada 16 November dan calon Perikatan Nasional (PN) pada 19 November.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Ghani memohon kerjasama majikan memberi kerjasama membenarkan pekerja mereka keluar mengundi.

"Kita faham pekerja ada waktu atau jadual mereka, jadi kita harap majikan dapat memberikan kelonggaran agar pekerja mereka dapat menjalankan tanggungjawab pada waktu yang ditetapkan,"katanya.

Menurutnya, sehingga jam 9 pagi sudah sembilan peratus penduduk keluar mengundi dan dijangka akan terus meningkat.

Jelasnya, keputusan PRU15 di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman dijangka akan diumumkan selewat-lewatnya jam 10 malam.