Hero Portugal tak sangka ledak hatrik

Ramos
Ramos
A
A
A

PENYERANG Portugal, Goncalo Ramos tidak menyangka mampu meledak hatrik dalam Piala Dunia ketika gergasi Eropah itu membenam Switzerland 6-1 dalam aksi 16 pusingan terbaik pada Selasa.

Pemain berusia 21 tahun itu mencipta sensasi tersendiri selepas diberi tanggungjawab di posisi yang menjadi milik kapten Portugal, Cristiano Ronaldo.

"Saya tidak pernah menyangka akan memulakan perlawanan di peringkat kalah mati dan menjaringkan tiga gol.

"Namun, kami perlu melihat perlawanan demi perlawanan dan bersedia untuk aksi suku akhir bertemu Maghribi. Keputusan ini tidak lagi penting, kami akan buat yang terbaik untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Ramos hanya berusia dua tahun ketika Ronaldo melakukan penampilan pertama bersama Portugal dan mengakui mengagumi pemain berusia 37 tahun itu.

"Secara jujurnya tiada seorang pun dalam pasukan yang bercakap tentang Cristiano. Cristiano sebagai seorang kapten, dia buat perkara sepatutnya, membantu dan bercakap tentang permainan.

"Cristiano Ronaldo sentiasa menjadi role model dan idola kepada ramai orang. Saya juga suka Robert Lewandowski dan Zlatan Ibrahimovic," jelasnya.

Setakat ini, Ramos hanya membuat empat penampilan bersama pasukan kebangsaan dan bermain 10 minit dalam dua perlawanan di peringkat kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengendali Portugal, Fernando Santos memuji persembahan yang dipamerkan pemainnya untuk menang besar ke atas Switzerland.

Namun, dia turut mengingatkan para pemain bahawa cabaran lebih getir perlu dihadapi apabila berdepan Maghribi di peringkat suku akhir.

"Jika kami boleh terus seperti ini dan memperbaiki beberapa perkara, kami akan dapat mara ke peringkat seterusnya," ujarnya.