Kapal kren ditahan berlabuh tanpa kebenaran

Sebuah kapal kren ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di sekitar perairan Pulau Indah di sini pada Selasa.
Sebuah kapal kren ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di sekitar perairan Pulau Indah di sini pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Sebuah kapal kren yang dikendalikan kru warga tempatan dan warga asing ditahan setelah didapati berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Indah di sini pada Selasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kapal kren tersebut ditahan pada jam 1.30 petang menerusi rondaan Op Ehsan dan Op Benteng Laut di kedudukan 0.3 batu nautika Timur Pulau Indah.

"Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kren itu tidak mempunyai kebenaran bersauh dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Pemeriksaan awal dijalankan mendapati, kapten tidak berada di atas kapal sebaliknya pasukan operasi hanya menemukan enam kru, iaitu tiga warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina berumur lingkungan 34 hingga 49 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, pemeriksaan dokumen mendapati kesemua kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri termasuk kebenaran bersauh.

"Mereka disyaki melanggar peraturan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran.

"Perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan dan seorang penyelia serta kru dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, Maritim Malaysia memandang serius terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di laut.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar sebarang peraturan dan undang-undang di perairan negara ini.

"Pengusaha atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh," katanya.