Ini bukan wajah sebenar Switzerland

Xherdan Shaqiri - Foto EPA
Xherdan Shaqiri - Foto EPA
A
A
A

PEMAIN tengah Switzerland, Xherdan Shaqiri memohon maaf kepada penyokong Rossocrociati selepas pasukan itu disingkirkan daripada Piala Dunia dengan cara memalukan apabila dibelasah Portugal 1-6 dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Qatar 2022 di Stadium Lusail.

“Hari ini kami perlu memohon maaf kepada semua penyokong Switzerland atas nama pasukan. Itu bukan wajah sebenar kami malam ini.

"Kami sangat kecewa. Kami telah menunjukkan had kami malam ini. Jurulatih memberi kami rancangan tetapi ia tidak berjaya untuk kami. Kami sudah tewas dalam perlawanan pada separuh masa pertama dan sentiasa terlambat selangkah," kata Shaqiri yang ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai pemain Chicago Fire dalam saingan Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat.

Goncalo Ramos menjaringkan hatrik, dengan Pepe, Raphael Guerreiro dan Rafael Leao turut mencetak nama sebagai penjaring Portugal, sebelum Switzerland kembali bernafas menerusi ledakan pemain Manchester City, Manuel Akanji pada minit ke-58, sekali gus meletakkan pasukan tersebut untuk mara ke suku akhir Piala Dunia pertama sejak 2006.

Pengendali Portugal, Fernando Santos yang meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan dihadiahkan dengan persembahan yang lebih licin dan lebih berseni daripada pasukannya berbanding aksi pada peringkat kumpulan sebelum ini ketika Switzerland di kuasai setiap bahagian padang.

Sementara itu, pengendali Switzerland, Murat Yakin yang kontraknya dengan pasukan kebangsaan tersebut berjalan selama dua tahun lagi, berkata Portugal telah mempamerkan satu permainan yang mengejutkan pasukannya.

"Kami mesti menerima kekalahan ini dengan berlapang dada dan mengucapkan tahniah kepada Portugal. Mereka adalah pasukan terbaik petang ini. Mereka mengejutkan kami.

“Kami tewas dalam satu perlawanan hari ini tetapi itu tidak bermakna kami perlu terlalu pesimis dan mengkritik segala-galanya. Pasukan telah menunjukkan semangat berpasukan yang hebat.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kekalahan ini menyakitkan. Kedudukan dan cara kekalahan itu menyedihkan saya," katanya.

Switzerland belum mara ke peringkat lapan terakhir Piala Dunia sejak 1954, namun Yakin menegaskan menambah bahawa pasukannya boleh berbangga dengan perjalanan lancar di Qatar 2022 dan perlu mencari jalan untuk terus mara ke hadapan.

“Kami hanya kalah satu perlawanan, kenapa perlu mempersoalkan segala-galanya?

“Memang kami tidak memenuhi jangkaan para penyokong setiap Switzerland tetapi kami boleh melihat kembali perjalanan kami di Piala Dunia ini dengan bangga.

"Sekarang kita perlu melihat masa depan," katanya.

Dalam pada itu, penjaga Switzerland, Yann Sommer menyifatkan para pemain Switzerland tidak cukup kuat dari segi mental semasa perlawanan.

“Kami tidak menunjukkan mentaliti yang biasa kami bawa ke atas padang.

"Ia adalah petang yang sangat pahit. Kami memberi Portugal terlalu banyak ruang. Saya juga tidak kelihatan terlalu bagus dalam beberapa situasi.

“Ini bukan cara untuk bertahan menentang lawan sebegitu,” kata penjaga gol yang beraksi untuk kelab Bundesliga Jerman, Borussia Monchengladbach.