Perak FC mohon maaf kepada pengamal media

Kenyataan Abdul Azim mengenai isu temu bual Teong Kim dengan wartawan pada Selasa lalu.
Kenyataan Abdul Azim mengenai isu temu bual Teong Kim dengan wartawan pada Selasa lalu.
A
A
A

PERAK FC mengemukakan permohonan maaf kepada pengamal media termasuk Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) susulan insiden membabitkan Ketua Jurulatih pasukan itu, Datuk Lim Teong Kim pada Selasa.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pihaknya mengakui kecewa dengan tindakan dilakukan Teong Kim ketika sesi temu bual itu.

Pihaknya turut mengambil iktibar terhadap insiden yang telah mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

"Saya mewakili semua yang terlibat bersama Perak FC ingin memohon maaf kepada rakan-rakan media termasuk SAM untuk kejadian yang tidak diingini melibatkan Ketua Jurulatih kami semasa sidang media selepas perlawanan Perak FC lawan Johor Darul Ta'zim tempoh hari.

"Kami ingin memberi jaminan kepada semua pengamal media bahawa Kelab Bola Sepak Perak amat menyokong peranan yang dilakukan rakan media dan memahami kekecewaan dialami dengan kejadian yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abdul Azim menjelasnya pihak sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian yang tular mengikut dasar serta polisi syarikat.

Katanya, tindakan tatatertib akan diambil dalam masa terdekat jika perlu berbuat demikian.

"Kami mengambil perhatian bahawa semasa perlawanan berintensiti tinggi, emosi pastinya memuncak dan kami berharap ini adalah insiden terpencil dan tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

"Dalam masa yang sama, kami memohon kepada rakan-rakan media untuk terus membuat liputan untuk Perak FC seperti yang telah dilakukan selama ini," katanya.

Menerusi rakaman video temu bual di yang tular itu, banyak pihak mempersoalkan cara Teong Kim menjawab pertanyaan dari wartawan Astro Arena pada Selasa.

Perkara itu kemudiannya menimbulkan pelbagai polemik dan kritikan terhadap Teong Kim.