Biarkan Sepanyol ber'tiki-taka' kunci kemenangan Maghribi

Walid Regragui (kiri) dan Achraf Hakimi meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Dunia qatar 2022.
Walid Regragui (kiri) dan Achraf Hakimi meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Dunia qatar 2022.
A
A
A

PENGENDALI Maghribi, Walid Regragui mengakui perancangannya membiarkan Sepanyol menguasai bola untuk membolehkan skuad The Atlas Lions itu menang dalam pusingan 16 pasukan terbaik pada Selasa.

Sepanyol menguasai bola sepanjang perlawanan namun Maghribi dapat bertahan dengan baik untuk menggagalkan usaha anak buah Luis Enrique menjaringkan gol.

Maghribi mencipta kemenangan 3-0 selepas seri 0-0 dalam tambahan masa di Stadium Education City di Qatar untuk menempah tiket suku akhir.

"Kami bersetuju untuk tidak menguasai bola tetapi bukan kerana kami takut.

"Kami akui kami bukan Perancis, Jerman atau England yang mampu bersaing dengan mereka dalam penguasaan bola.

"Tiada siapa mampu merampas bola daripada mereka, jadi saya menerima untuk tidak mengawal penguasaan bola. Saya bukan ahli silap mata," katanya.

Kejayaan mara ke peringkat suku akhir itu juga merupakan sejarah buat Maghribi dalam enam penampilan mereka di Piala Dunia.

Menurut Regragui, pasukannya menggunakan tempoh empat hari untuk mengadaptasi corak permainan tersebut mengurangkan impak trio tengah Sepanyol iaitu Sergio Busquets, Pedri dan Gavi.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah menutup banyak hantaran dalam 120 minit, kami tahu kami ada peluang. Kami tidak tahu bagaimana untuk menghukum lawan.

"Kami mengikut perancangan, dapat penalti dan selepas itu ia seperti loteri. Tetapi, apabila anda tahu anda mempunyai penjaga gol yang bagus, anda tahu anda mempunyai peluang untuk menang," katanya.