Aliff Izwan dipanggil sertai Harimau Malaya

Aliff Izwan akan melapor diri di kem latihan pusat skuad Harimau Malaya pada Rabu. Foto: FB FAM
Aliff Izwan akan melapor diri di kem latihan pusat skuad Harimau Malaya pada Rabu. Foto: FB FAM
A
A
A

KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon memanggil pemain dari skuad Bawah 23 tahun (B-13) negara, Aliff Izwan Yuslan untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang dalam persiapan menghadapi Piala AFF 2022.

Pemain tersebut telah menarik perhatian Pan Gon ketika skuad Harimau Malaya mengadakan sesi latihan bersama dengan skuad B-23 negara kendalian E Elavarasan pada 30 November dan 1 Disember serta perlawanan latihan membabitkan kedua-dua pasukan pada 2 Disember lalu.

Malah selepas berakhir kem latihan pusat skuad B-23 negara selama 10 hari dari 27 November lalu yang berakhir pada Selasa, Elavarasan dan penolong jurulatih Harimau Malaya turut memberi rekomendasi kepada Pan Gon untuk penyenaraian pemain itu ke skuad senior.

Aliff Izwan, 18, yang merupakan penyerang Selangor FC 2 akan melapor diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya pada Rabu bersama penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dari Terengganu FC (TFC) yang namanya memang tersenarai dalam skuad senior.

Dalam pada itu, Pan Gon terpaksa menggugurkan pemain sayap TFC, Faiz Nasir yang mengalami masalah kesihatan sekali gus tidak dapat meneruskan latihan pusat bersama skuad Harimau Malaya biarpun telah hadir melapor diri pada 29 November lalu.

Menerusi perkembangan terbaharu itu, jumlah pemain yang berada dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya ketika ini ialah seramai 28 pemain termasuk Dion Cools yang akan melapor diri pada 16 Disember.

Artikel Berkaitan: