Lima kerangka fokus utama Hannah

Hannah Yeoh bercakap kepada pemberita semasa sidang media beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Selasa. - Foto Bernama
Hannah Yeoh bercakap kepada pemberita semasa sidang media beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggariskan lima aspek yang menjadi fokus utamanya sebaik sahaja melaporkan diri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Selasa.

Malah, Hannah menegaskan, beliau tidak mempunyai hasrat untuk memperkenalkan program baharu pembangunan sukan negara, sebaliknya mahu terus memperkasa program sedia ada.

“Perkara pertama saya mahu pastikan sukan dapat diakses untuk semua. Keduanya, memberikan keadaan yang selamat kepada atlet kita.

“Ketiga dari segi kebajikan atlet dan saya akan dapatkan pandangan daripada mereka. Keempat, selalunya orang akan rasa kalau ada kepimpinan baharu, mungkin ada program baharu.

“Tetapi saya tidak ada hasrat untuk memperkenalkannya (program baharu). Sebaliknya,saya mahu mendengar dan mencari jalan memperkasakan program sedia ada.

“Yang kelima membabitkan aspek belia yang mana turut membabitkan lebih kurang 17 kementerian lain dan saya menjalin kerjasama untuk pastikan ada kesinambungan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pertamanya sebagai Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS di Putrajaya pada Selasa.

Hannah yang mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu lalu mengambil alih portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan yang sebelum ini disandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan barisan atlet negara dalam masa terdekat bagi membincangkan hal keperluan dan kebajikan mereka.'

“Sebab itu saya kata tidak mahu buat program baharu supaya atlet ada kesinambungan mereka. Kalau asyik tukar hala tuju, susah untuk atlet kita ikut,” ujarnya.

Mengenai status Bajet 2023, Hannah memberitahu, keputusan sama ada peruntukan untuk kementerian berkenaan diubah atau tidak terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

“Untuk Bajet 2023, kita kena tunggu arahan daripada Menteri Kewangan (Anwar) iaitu Perdana Menteri. Itu bukan sahaja melibatkan KBS tapi semua kementerian,” jelasnya.

Untuk rekod, Bajet 2023 yang dibentangkan kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM332 juta kepada KBS bagi melaksanakan program latihan serta fasiliti sukan negara pada tahun hadapan.