'Saya kena banyak belajar dan mendengar'

HANNAH YEOH
HANNAH YEOH
A
A
A

SELEPAS mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu, Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Hannah Yeoh secara rasmi akan memulakan tugasnya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Mengulas pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Hannah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh terlibat sejurus melaporkan diri di KBS.

“Saya sedang menunggu untuk mendapatkan taklimat pada Isnin nanti. Selepas mendapatkan taklimat, saya akan selesaikan beberapa perkara di pejabat menteri.

“Kemudiannya, saya akan berjumpa dengan stake holders (pemegang taruh) di KBS. Ini kali pertama saya kenali sukan secara teliti (dekat), jadi saya kena banyak belajar dan banyak mendengar,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu.

Hannah yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah pemimpin wanita kedua dalam sejarah dilantik bagi menerajui KBS selepas Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari 2013 hingga 2018, sekali gus mencatat sejarah sebagai speaker DUN wanita pertama dan termuda dalam negara adalah menteri ke-21 sejak penubuhan KBS pada 1964.

Dalam pada itu, warga sukan tanah air mengalu-alukan pelantikan Hannah sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kehadiran Hannah menerajui KBS diharapkan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak.

“Kami berharap beliau akan meneruskan agenda sukan tanah air dan meneruskan program-program atlet untuk Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik

“Kami juga berharap KBS di bawah kepimpinan beliau akan meneruskan sokongan yang sepenuhnya ke arah mempergiatkan lagi pergerakan Olimpik di Malaysia,” ujarnya.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pula percaya pengalaman Hannah sebagai bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pasti membantunya untuk memahami cabaran dihadapi Orang Kurang Upaya (OKU).

“Melalui pengalaman beliau dalam kementerian dahulu, saya amat berharap beliau terus memacu kedudukan Paralimpik di negara kita dan menghapuskan ketidaksamarataan terhadap OKU,” jelasnya.