Lebih 10,000 pesakit kanser dikesan lewat setiap tahun

Tan Sri Rafidah Aziz (tiga dari kanan) merasmikan Pelancaran Fasa ke-5 Program Mamogram Percuma dan Pengenalan Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa di Menara Etiqa, Bangsar pada Selasa.
Tan Sri Rafidah Aziz (tiga dari kanan) merasmikan Pelancaran Fasa ke-5 Program Mamogram Percuma dan Pengenalan Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa di Menara Etiqa, Bangsar pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 50 peratus atau 10,000 pesakit kanser setiap tahun di negara ini dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat menjadi punca peningkatan kematian dalam kalangan pesakit itu.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan berkata, ia susulan kurang kesedaran mengenai kepentingan menjalani ujian saringan dan pengesanan awal dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, sebanyak 20,000 kematian pesakit kanser dicatatkan dalam tempoh yang sama.

"Angka itu agak membimbangkan kerana kes di peringkat global juga menunjukkan peningkatan dengan purata usia bagi seorang pesakit lebih 40 hingga 60 tahun.

"Bagaimanapun, pengesanan awal penyakit itu dapat panjangkan umur dan kurangkan komplikasi selain mengamalkan budaya hidup sihat dan menjaga pemakanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Fasa ke-5 Program Mamogram Percuma dan Pengenalan Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa di Menara Etiqa, Bangsar di sini pada Selasa.

Majlis disempurnakan oleh Penaung Utama NCSM, Tan Sri Rafidah Aziz.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Kesihatan Premier) Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Mastura Ismail; Pengerusi Maybank Ageas Holdings Berhad, Datuk R Karunakaran dan Ketua Pegawai Pelaburan Etiqa, Norlia Mat Yusof.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Murallitharan memberitahu, program itu bertujuan membantu golongan B40 dan penduduk di kawasan luar bandar untuk membuat pemeriksaan dan pengesanan kanser di peringkat awal.

"Dengan kerjasama NSCM dan Etiqa, kali ini kami bergerak ke 11 negeri di Semenanjung untuk melakukan saringan di kawasan terpencil, sukar ditembusi dan tiada hospital berdekatan.

"Kami menjangkakan sebanyak 50,000 rakyat Malaysia di seluruh negara menerima manfaat daripada program ini manakala mereka yang dikesan positif kanser akan diberi rawatan ujian ultrasound di klinik kesihatan," ujarnya.