Amelia Henderson perlu bayar lebih RM200,000 kepada A Aida

Amelia, A Aida
Amelia, A Aida
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen Sivil di sini pada Jumaat, memerintahkan pelakon, Amelia Henderson membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd, berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu.

Ia membabitkan bayaran pertama RM3,920; ganti rugi am fitnah RM90,000 dan kos penggambaran drama itu sebanyak RM101,325 selain kos RM18,000 (guaman plaintif).

Hakim, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas mendapati Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, selaku defendan telah melanggar terma-terma kontrak dalam filem 'Sekali Lagi Cinta Kembali'.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Zulqarnain berkata, bintang filem itu juga perlu melunaskan bayaran lima peratus bagi bayaran pertama dan kos penggambaran drama itu kepada Syarikat A Aida selaku plaintif.

“Mahkamah juga membenarkan permohonan plaintif supaya defendan membuat permohonan maaf dan memadamkan video di Instagram yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu,” katanya.

Atas imbangan kebarangkalian, beliau berkata, mahkamah telah meneliti kontrak yang ditandatangani defendan dan syarikat itu, maka Amelia hendaklah menunaikan perjanjian berkenaan.

Ujarnya, mahkamah berpuas hati bahawa syarikat itu berjaya membuktikan tuntutan berkenaan kerana Amelia bersetuju untuk membintangi drama itu lalu mengikat kontrak tersebut.

Amelia juga katanya, bersetuju untuk memegang watak ‘Aira’ iaitu heroin dalam pembikinan seni itu.

Menyentuh dakwaan fitnah, Zulqarnain berkata, kenyataan Amelia di Instagram bahawa syarikat itu tidak professional, telah mengaibkan syarikat berkenaan.

Dalam prosiding itu, peguam, Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi berkenaan manakala Wan Nurliyana Abdul Rahman mewakili Amelia.

Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia hadir untuk memberi keterangan.

Semasa perbicaraan, seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A Aida Production Sdn Bhd terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.

Sementara itu, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

A Aida bersama sutradara drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin, sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.

Bagaimanapun, saman melibatkan A Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.