[VIDEO] Tidak serik kalah, Rani Kulup umum tanding DUN pula

Rani Kulup
Rani Kulup
A
A
A

PORT DICKSON - Baharu saja tewas dalam percubaan pertama bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah mengumumkan akan bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pula.

Beliau yang merupakan bekas calon Bebas Parlimen Port Dickson bagaimanapun tidak mahu mendedahkan kerusi DUN mana yang akan ditandingi kerana masih terlalu awal.

"Walaupun 'ayah' hilang wang deposit pada PRU15 lalu, tapi ia tidak akan mematahkan semangat 'ayah' untuk mencuba nasib bertanding di DUN pula.

"'Ayah' dah pun buat keputusan untuk bertanding di kawasan DUN mana. Tapi tunggu masanya nanti untuk 'ayah' buat pengumuman. Buat masa ini biarlah ia rahsia, " katanya yang membiasakan dirinya ayah ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Baginya, PRU15 menjadi titik permulaan untuk melibatkan diri dalam pertarungan pilihan raya sekali gus memberinya lebih peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ujarnya, dengan jumlah 441 undi yang diperoleh dalam pertembungan lima penjuru pada PRU15, ia membuktikan dirinya diterima masyarakat.

"Oklah, ada masyarakat Port Dickson yang mengundi saya. Bagilah saya peluang pula apa salahnya," katanya.

Pada PRU15, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya mempertahankan penguasaan Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Port Dickson dengan majoriti 23,601 undi menewaskan pencabarnya, Datuk P Kamalanthan (BN), Rafiei Mustapha, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Pejuang) dan Abdul Rani Kulup (Bebas).

Sementara itu, dalam laporan sebelum ini, kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan bagi mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dijalankan serentak tahun hadapan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Artikel Berkaitan: