Dua bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Dua bekas pegawai kanan Pos Malaysia Bhd masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM26,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran kepada sebuah syarikat, dua tahun lepas.

Bekas Ketua Pengurusan Kontrak dan Armada, Abdul Hadi Aziz Wong dan bekas Penolong Pengurus Operasi, Ruslin Sapari membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Abdul Hadi, 48, dan Ruslin, 54, yang bertugas di Bahagian Pengurusan Kenderaan Pos Malaysia, masing-masing didakwa dengan tiga dan dua pertuduhan secara rasuah menerima suapan untuk diri mereka iaitu wang berjumlah RM16,000 serta RM10,000 melalui pindahan dalam talian ke akaun bank milik kedua-dua lelaki itu daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd sebagai upah melakukan perbuatan tersebut.

Suapan itu bagi membantu mempercepatkan bayaran Pos Malaysia kepada syarikat OnxOn Logistik bagi kerja-kerja ‘Outsourcing Linehaul’ dan ‘Shuttle Services’ di Sabah dan Sarawak.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di dua cawangan bank iaitu di USJ Subang Jaya dan Ara Damansara dekat sini antara 11 Jun dan 23 Julai 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM8,000 kepada Abdul Hadi dan RM5,000 bagi Ruslan bersama seorang penjamin selain syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam Irzan Iswatt Mohd Noor mewakili Abdul Hadi dan peguam Najiah Zaimah Aris mewakili Ruslin masing-masing memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak-anak guam mereka adalah penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM sepanjang siasatan kes-kes tersebut.

Rozilah menetapkan jaminan RM7,000 kepada Abdul Hadi dan Ruslan sebanyak RM5,000 serta seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan yang diminta pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan13 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. - Bernama