RM59.97 juta saman tertunggak dijelaskan

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM59.97 juta saman tertunggak dijelaskan oleh pengguna jalan raya melalui pembayaran secara dalam talian dan di kaunter sejak Januari hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, seramai 105,260 pengguna jalan raya telah menjelaskan kompaun saman tertunggak melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM49.6 juta melalui portal dan aplikasi ‘MyBayar Saman’.

"Tindakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan sistem pembayaran saman secara 'cashless' dan digital memudahkan urusan pembayaran saman tertunggak oleh orang ramai," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman pada Selasa.

Acryl Sani berkata, inisiatif lain yang dilaksanakan oleh JSPT bagi menggalakkan orang ramai menjelaskan saman tertunggak termasuklah dengan kempen pengurangan saman.

"Mengikut rekod sebanyak 37 Kaunter Diskaun Saman 50 Peratus telah dibuka di seluruh negara dengan jumlah kutipan saman RM10.37 juta sejak Januari hingga Oktober lalu," katanya.

Acryl Sani berkata, beliau juga bangga atas keprihatinan warga Polis Diraja Malaysia khususnya JSPT yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat yang dilanda kesusahan.

"Berita tentang warga PDRM membantu masyarakat sering dimuat naik di media sosial, sebagai penghargaan atas keprihatinan yang dipamerkan meskipun di luar skop tugasan mereka.

"Sebagai contoh, tular di media sosial pujian masyarakat kepada anggota polis trafik yang sanggup membantu membersihkan longkang tersumbat bagi membolehkan aliran air bertakung dapat disalirkan bagi kelancaran lalu lintas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keprihatinan warga pasukan dilakukan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

"Segala tindak tanduk kita sama ada yang baik atau sebaliknya, sentiasa berada dalam radar pemerhatian masyarakat," ujarnya.