Enam nelayan Myanmar, Thailand ditahan tiada dokumen

Enam nelayan warga asing ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah selain tiada permit menangkap ikan.
Enam nelayan warga asing ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah selain tiada permit menangkap ikan.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan nelayan warga asing pada jam 12 tengah hari Ahad.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, sepasukan Maritim Malaysia Pulau Pinang yang sedang melaksanakan Op Tanjung telah mengesan sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 42 batu nautika barat Pulau Kendi di sini.

Menurutnya, setelah ditahan, pihaknya mendapati bot yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan lima nelayan warga Myanmar dan seorang tekong warga Thailand.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 23 hingga 54 tahun. Mereka tidak memiliki sebarang dokumen diri yang sah. Oleh demikian, mereka disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

"Selain itu mereka juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bot kelas C yang dirampas daripada kesemua yang ditahan.
Bot kelas C yang dirampas daripada kesemua yang ditahan.

Dalam pada itu, beliau berkata, bot, nelayan yang ditahan serta hasil laut seberat 500 kilogram itu dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

"Maritim Malaysia menegaskan kepada semua pihak terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot agar mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, boleh menghubungi di talian hotline Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999," katanya.