'Saya percaya kepada bipartisan' - Syed Saddiq

Gambar yang dikongsikan Syed Saddiq (kiri) di Facebooknya pada Isnin ketika beliau bertemu Muhyiddin.
Gambar yang dikongsikan Syed Saddiq (kiri) di Facebooknya pada Isnin ketika beliau bertemu Muhyiddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tanpa memaklumkan mengenai masa sebenar perjumpaan itu diadakan, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin berkata, pertemuan itu berlangsung selama dua jam.

Pilihanraya sudah tamat, kini masa untuk fokus berkhidmat. Walaupun berada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) tetap kekal. Hormat kawan dan lawan.

“Dua jam berbual, catching up on life after elections (mengenai kehidupan selepas pilihan raya).

"TSMY juga pengundi saya di Muar. Jasanya banyak,” katanya yang turut berkongsi foto pertemuan tersebut pada hantaran berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan harapan untuk membina Malaysia yang ditadbir dengan integriti dan maruah dan menjadi negara untuk semua kumpulan rakyat merentasi parti politik.

“Saya seorang yang percaya teguh kepada (prinsip) bipartisan. Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik.

“Kita memerlukan kerajaan kuat dan stabil dengan pembangkang yang berkesan untuk membawa Malaysia ke hadapan. Masa untuk fokus membina semula Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, Syed Saddiq bersama Muhyiddin merupakan individu yang memegang jawatan pimpinan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, kedua-duanya membawa haluan berasingan selepas peristiwa ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri.