Siti Bainun gagal gantung prosiding bela diri abai, aniaya Bella

Siti Bainun Ahd Razali
Siti Bainun Ahd Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR – Siti Bainun Ahd Razali gagal dalam permohonan untuk menggantungkan prosiding bela diri mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella di Mahkamah Sesyen di sini sementara menunggu pendengaran permohonan semakan notis usul, di Mahkamah Tinggi.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Pengasas Rumah Bonda itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Berdasarkan alasan yang dinyatakan oleh pembelaan, tiada keadaan khas atau istimewa, membolehkan prosiding ini ditangguhkan,” katanya.

Ketika membaca keputusan ringkasnya, Izralizam berkata, Siti Bainun selaku pemohon perlu menunjukkan wujudnya keadaan khas, bagi membolehkan perintah penggantungan prosiding diberikan.

Beliau berkata, setelah meneliti notis usul, affidavit sokongan, jawapan pendakwaan dan hujahan bertulis pemohon bertarikh 5 Disember, mahkamah berpendapat bahawa isu-isu relevan yang ditimbulkan pemohon, perlu dirujuk.

Menurutnya, tertuduh menyatakan permohonan di mahkamah tinggi melibatkan pihak-pihak yang sama dan isu yang serupa, perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum prosiding bela diri di mahkamah sesyen bermula.

“Pertuduhan terbabit adalah tidak cacat atau memperjudiskan tertuduh, maka jelas dakwaan tertuduh bahawa mahkamah tidak mempertimbangkan pertuduhan itu adalah tidak berasas dan mengelirukan.

“Oleh demikian, permohonan (Siti Bainun) itu, ditolak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor berkata, penggantungan kes ini wajar diberi kerana ia tidak prejudiskan mana-mana pihak.

Ini kerana beliau berkata, isu yang difailkan di mahkamah tinggi, adalah berkaitan pertuduhan terhadap Siti Bainun.

Katanya, notis usul telah difailkan pada Rabu lalu, maka bagi memastikan keadilan kepada tertuduh, pendengaran di mahkamah tinggi perlu dihapuskan terlebih dahulu sebelum pihak-pihak meneruskan prosiding pendengaran kes di mahkamah ini.

“Jika mahkamah tinggi membuat sebarang dapatan terhadap pertuduhan, ia akan memberi implikasi kepada keseluruhan perbicaraan kes ini.

“Bermakna ia akan beri implikasi sama ada pertuduhan itu akan diteruskan atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad membantah permohonan tersebut dengan alasan, tarikh perbicaraan ditetapkan lebih awal dan telah dipersetujui oleh pasukan pembelaan sendiri.

Menerusi affidavit yang difailkan pendakwaan selaku responden pada 2 Disember lalu, menegaskan bahawa, permohonan itu bersifat remeh, mengaibkan dan menyusahkan serta bertujuan untuk melengah-lengahkan perbicaraan kes.

“Responden juga menyatakan, notis usul dan afidavit sokongan oleh pemohon adalah tidak bermerit, maka saya dengan rendah diri memohon mahkamah menolak perkara tersebut,” katanya.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diperintah bela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Dalam pada itu, pembelaan turut memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes ini kerana Siti Bainun dimasukkan ke hospital akibat penyakit Pneumonia.

Namun keputusan permohonan itu akan diputuskan petang ini.