Kes saman selesai, DAP mohon maaf kepada Rahim Thamby Chik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik terhadap Khoo Poay Tiong dan DAP selesai, apabila Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan parti itu pada Isnin memohon maaf kepada bekas Ketua Menteri Melaka itu berhubung penerbitan beberapa artikel mengaitkannya dengan pelbagai skandal.

Poay Tiong yang turut mewakili DAP membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee berkata artikel-artikel tersebut adalah tidak berasas serta tidak benar dan adalah fitnah terhadap Abdul Rahim dan keluarganya.

"Kami dengan ini memohon maaf dan menyatakan kekesalan kami atas sebarang kesusahan dan penghinaan kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan keluarganya akibat daripada penerbitan artikel-artikel tersebut.

"Kami telah memadamkan artikel-artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan sebarang artikel yang mengandungi alegasi-alegasi ini (dakwaan) atau serupa terhadap Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik,” katanya.

Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu dengan kos RM180,000 dibayar kepada Abdul Rahim.

Prosiding perbicaraan kes saman itu sepatutnya berlangsung Isnin hingga Khamis, namun pihak-pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Abdul Rahim manakala Ramkarpal Singh mewakili Poay Tiong dan DAP.

Selain Poay Tiong, Abdul Rahim turut menamakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika itu, sebagai defendan kedua hingga keempat yang disaman sebagai pemegang jawatan dalam parti.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 September 2020, Abdul Rahim mendakwa pada 16 Disember 2018, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, telah menulis, menerbit atau menyebabkan untuk diterbitkan artikel-artikel mengandungi perkataan fitnah yang mengaitkan beliau di laman Facebook milik defendan pertama (Poay Tiong), laman sesawang DAP www.dapmalaysia.org dan portal berita www.thestar.com.my. - Bernama