Rangkaian 5G Malaysia raih pengiktirafan global

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Rangkaian 5G Malaysia berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global pada Anugerah Glotel yang berprestij di London.

Anugerah tersebut memperakui kecemerlangan dan inovasi dalam memajukan serta mentransformasikan telekomunikasi.

Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB) telah memenangi kategori ‘Vendor Terbaik Inovasi 5G’ yang diberikan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang telah membangunkan teknologi atau perkhidmatan 5G baharu terbaik.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, anugerah tersebut adalah bagi Rangkaian Teras Operator Berbilang dan Pemetakan Sumber Dinamik untuk rangkaian 5G borong nasional.

"Rangkaian 5G DNB merupakan rangkaian komersial pertama di dunia yang menggunakan Pemetakan Sumber Radio Dinamik (DRP) iaitu sebuah penyelesaian Penghirisan Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G daripada Ericsson.

"Penyelesaian tersebut membolehkan kesemua enam operator telekomunikasi yang berkongsi rangkaian DNB untuk menawarkan perkhidmatan 5G tersuai agar mencapai kelajuan terbaik yang memberikan pilihan tanpa kompromi kepada pengguna selain memacu nilai rangkaian 5G sebagai sebuah platform inovasi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Teknologi DRP adalah pelengkap kepada Rangkaian Teras Operator Berbilang (MOCN) yang turut digunakan pada rangkaian 5G DNB yang membolehkan operator berkongsi sumber radio dengan wajar tanpa menjejaskan kualiti pada waktu sibuk dan menawarkan kelainan kepada pengguna masing-masing.

Kemampuan perkongsian aktif tersebut juga bakal memaksimumkan penggunaan spektrum dan seterusnya mendorong kepada kos perkhidmatan 5G yang lebih rendah di negara ini, sekali gus mempercepatkan penerimagunaan dan transformasi digital.

Artikel Berkaitan:

"Anugerah Glotel merupakan salah satu contoh komitmen Ericsson dan DNB untuk menyediakan rangkaian 5G bertaraf dunia yang mampu milik kepada rakyat Malaysia.

"Selain itu, menawarkan pengalaman pengguna bertaraf dunia dan keselamatan yang mempercepatkan transformasi digital serta mewujudkan destinasi menarik untuk pelaburan asing yang memerlukan ketersambungan selamat dan utuh dalam operasi dan pembuatan.

"Kehadiran 5G bukan sahaja dapat mempertingkatkan gaya hidup digital pengguna dari segi permainan, penstriman, penjagaan kesihatan dan pendidikan, malah memberikan keyakinan kepada perusahaan dalam memperluaskan penggunaannya sebagai contoh dalam perlombongan, logistik dan pertanian," ujar beliau.

David Hägerbro turut berharap pihaknya dapat menawarkan inovasi dan teknologi terkini ke Malaysia, di samping mencapai lebih banyak perkembangan penting yang mengukuhkan daya saing dan mempercepat usaha menuju negara digital.