England tempah tiket suku akhir

Kane menjaringkan satu gol ketika membantu England menewaskan Senegal 3-0 pada aksi kalah mati Piala Dunia Qatar di Stadium Al Bayt pada Isnin. - Foto EPA
Kane menjaringkan satu gol ketika membantu England menewaskan Senegal 3-0 pada aksi kalah mati Piala Dunia Qatar di Stadium Al Bayt pada Isnin. - Foto EPA
A
A
A

ENGLAND membuktikan jagoan Eropah apabila membenam Senegal 3-0 dalam aksi kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Bayt awal pagi Isnin.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Three Lions akan membuat perhitungan pada suku akhir menentang juara bertahan, Perancis yang menewaskan Poland 3-1.

England menguasai babak pertama, namun Senegal ampuh bertahan.

Di sebalik keghairahan England menyerang, Senegal hampir membuka tirai jaringan menerusi Ismaila Sarr dan Boulaye Dia, namun gagal menemui sasaran.

England kemudian memperkemaskan serangan dan akhirnya membuahkan hasil apabila kapten, Jordan Henderson meledak untuk gol pertama pada minit ke-38.

Menuju ke bilik persalinan, Harry Kane melegakan Three Lions apabila menyumbat gol kedua untuk menewaskan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.

Bersambung babak kedua, England yang dibimbing Gareth Southgate menggandakan asakan dan ia kemudian membuahkan hasil.

Pemain sensasi, Bukayo Saka menambah derita Senegal apabila menghasilkan gol ketiga selepas menerima hantaran Phil Foden pada minit ke-57.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan besar itu menambah bisa jentera serangan England di Qatar dengan12 gol setakat ini.

Ia menyamai jumlah Piala Dunia terbaik mereka sebelum ini di Russia 2018 apabila mara ke separuh akhir.

Three Lions meledak 11 gol ketika memenangi Piala Dunia pada edisi 1966.