Wanita maut kereta bertembung

Keadaan kereta Perodua Kancil dan Proton Wira yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kahang Barat, Kluang pada Ahad.
Keadaan kereta Perodua Kancil dan Proton Wira yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kahang Barat, Kluang pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan di Jalan Kahang Barat dekat sini pada Ahad.

Mangsa, Norsahida Rahman, 42, beralamat di Felda Kahang Barat yang memandu kereta Perodua Kancil maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kejadian pada jam 1.42 petang itu melibatkan kereta Perodua Kancil dan Proton Wira.

Menurutnya, dua lagi mangsa termasuk seorang warga emas turut cedera dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Wira dari arah Felda Kahang Barat menghala ke Jalan Padang Tembak, manakala Perodua Kancil dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Kancil disyaki telah hilang kawalan dan masuk laluan Proton Wira lalu bertembung," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemandu Proton Wira, Siti Aisah Abdullah, 29, beralamat di Taman Sri Lambak T6 di sini cedera di kepala dan kaki kiri, manakala warga emas yang duduk di kerusi penumpang hadapan, Patimah Abu Bakar, 70, beralamat di Felda Kahang Timur di sini cedera di kepala, mulut, dada dan tangan kanan.

"Mangsa yang cedera masih menerima rawatan di zon merah di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Noorhakim Nordin berkata, sembilan anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Terdapat seorang mangsa cedera dan tersepit di dalam Perodua Kancil.

"Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.