Ahli Parlimen BN, PH Johor bakal wujudkan kaukus

Gambar dari kiri: Hasni dan Chin Tong.
Gambar dari kiri: Hasni dan Chin Tong.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Penubuhan kaukus membabitkan 24 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Johor diyakini akan dipersetujui dalam usaha membawa kestabilan dan kemakmuran di negeri ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, cadangan penubuhan kaukus oleh Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong merupakan langkah terbaik bagi memastikan negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan Persekutuan.

Bekas Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, perbincangan mengenai kaukus akan diadakan selepas angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

"Secara umum banyak perkara yang memerlukan perhatian daripada kerajaan Persekutuan antaranya naik taraf laluan lebuh raya, menarik pelabur ke Johor dan menambah baik kemudahan terminal feri.

"Saya kira perkara-perkara tersebut memerlukan usaha sama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Apatah lagi Johor mempunyai empat ahli Parlimen yang dilantik dalam kabinet dan kaukus yang akan diwujudkan itu mampu menjadi jambatan penting antara Ahli Parlimen Johor bagi mengutarakan isu penting membabitkan Johor," katanya ketika sidang akhbar selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, penubuhan kaukus di peringkat negeri mengambil persefahaman di antara BN dan PH yang diwujudkan di peringkat Parlimen.

"Saya mencadangkan kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad selaku Pengerusi BN Johor berhubung satu kaukus Ahli-ahli Parlimen Johor ditubuhkan dengan penglibatan 24 Ahli Parlimen BN dan PH.

Artikel Berkaitan:

"Kaukus ini boleh membantu kerajaan Johor melalui taklimat dan maklumat supaya semua ahli-ahli Parlimen dimaklumkan secara terperinci keperluan dan permintaan kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan.

"Mekanisme ini akan membolehkan Johor diberikan tumpuan dan keutamaan oleh Kerajaan Perpaduan demi pembangunan dan kemajuan Bangsa Johor serta belanjawan ini," katanya.

Pada PRU15 lalu, PH menang 14 kerusi Parlimen di Johor diikuti BN mendapat sembilan kerusi dan Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh dua kerusi.