RM5.3 juta baiki 93 premis tabika uzur di Johor

Zahari
Zahari
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor memperuntukkan RM5.3 juta bagi membaik pulih kira-kira 93 buah premis tabika yang didapati berada dalam keadaan uzur dan kritikal di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, permohonan bagi melaksanakan projek-projek penyelenggaraan itu telah pun disalurkan kepada Ibu Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pada Oktober lalu.

"Sepanjang tahun ini, Kemas Negeri Johor telah melaksanakan kerja membaik pulih 50 buah tabika membabitkan peruntukan RM1,411,841 selain membina dua tabika dengan nilai RM660,283.

"Namun, jumlah peruntukan itu belum mampu menampung keperluan baik pulih dan bina baharu yang diperlukan bagi keseluruhan negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan ADUN Sungai Balang, Selamat Takim mengenai langkah kerajaan tangani isu tabika Kemas yang telah uzur pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor pada Ahad.

Zahari yang juga ADUN Buloh Kasap menjelaskan, pihak kerajaan negeri melalui Kemas komited dalam memenuhi keperluan pendidikan awal kanak-kanak dalam kalangan masyarakat.

"Daripada jumlah 1,153 kelas, 374 kelas beroperasi di bangunan sendiri, 72 kelas menyewa dan 200 kelas beroperasi di bangunan milik agensi kerajaan.

"Selebihnya sebanyak 507 kelas menumpang di pelbagai jenis premis seperti balai raya, surau, milik persendirian dan lain-lain," katanya.

Artikel Berkaitan: