'Ganggu polis bertugas tindakan biadab'

A
A

SHAH ALAM - Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik menyifatkan tindakan beberapa orang petugas parti politik pada PRK Rantau mendesak dan memeriksa anggota polis bertugas sebagai tindakan biadab.

Katanya, tindakan ala samseng yang angkuh itu dilakukan oleh individu atas alasan kononnya mereka mempunyai hak untuk memeriksa sesiapa sahaja.

"Kuasa apa? Ini lah yang membezakan sikap antara penyokong BN dan PH.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis kenal pasti lima penyokong parti periksa MPV

"Kami sejak dulu sentiasa menghormati dan beri kerjasama baik kepada pasukan keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak kira di mana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahida berkata demikian mengulas mengenai penularan video dalam media sosial menunjukkan beberapa petugas sebuah parti politik memeriksa kenderaan polis dipercayai pada hari pengundian PRK DUN Rantau, semalam.

Video berdurasi 44 saat itu menunjukkan petugas-petugas berkenaan menyoal anggota polis selain meminta membuka but kenderaan polis untuk diperiksa oleh mereka.

Mengulas lanjut, Zahida berkata, pengorbanan pasukan polis amat besar dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman kita semua rakyat Malaysia.

"Jadi adakah layak mereka dilayan sedemikian? Apakah tindakan Menteri Dalam Negeri apabila anak buah diperlekehkan sebegini?," soalnya.

Dalam perkembangan terkini, polis sudah mengenal pasti lima lelaki berusia 30 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan berhubung tindakan beberapa penyokong parti politik itu.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, anggota yang terbabit sudah membuat laporan polis hari ini, dan polis akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia